"kaum wanita yang mengusahakan tudung keringkam harus lebih kreatif dan inovatif dalam mempelbagaikan bentuknya"

YB DATIN HAJJAH FATIMAH ABDULLAH
Menteri Di Pejabat Ketua Menteri
 
Hakcipta Terpelihara © 2008. Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sungai Bedil Besar, Petra Jaya, Kuching, Sarawak, Malaysia.
 
 
 
23 April 2010 - Sulaman keringkam berpotensi digerakkan sebagai satu produk yang mampu meningkatkan status ekonomi kaum wanita, kata Datin Hajjah Fatimah Abdullah, Menteri Di Pejabat Ketua Menteri.

"Golongan wanita harus berusaha menjana pendapatan sendiri melalui kegiatan ekonomi, khususnya dalam bidang usahawan seperti sulaman, pemprosesan makanan dan sebagainya" tambahnya lagi.

Beliau yang juga memuji langkah yang diambil oleh Biro Ekonomi, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kampung Sungai Bedil Besar kerana mengetengahkan sulaman keringkam kepada wanita di kampung berkenaan berkata, ia merupakan satu langkah awal untuk menyedia dan memantapkan kemahiran wanita dalam usaha melahirkan satu produk kampung melalui sulaman keringkam.

Oleh itu, kaum wanita yang mengusahakan tudung keringkam harus lebih kreatif dan inovatif dalam mempelbagaikan bentuknya bukan hanya semata-mata tudung keringkam, katanya.
Beliau berucap di majlis penangguhan Bengkel Sulaman Keringkam yang berlangsung selama lima hari bermula 19-23 April yang lalu.

"Produk keringkam yang mempunyai ciri-ciri kreativiti dan inovasi amat penting sekali diberi perhatian sewajarnya sebab citarasa pasaran adalah pelbagai dan melalui sokongan Kraftangan Malaysia dan agensi lain, ia tidak mustahil untuk dicapai" ujarnya.

Tambahnya lagi, jika usaha-usaha ini dapat dilakukan, beliau yakin wanita mampu mengetengahkan sulaman tudung keringkam sebagai satu produk yang seiring dengan kehendak pasaran pada era globalisasi.

Secara tidak langsung usaha ini akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri, katanya lagi.

"Misalnya, setakat ini terdapat 16 pengusaha kek lapis di Sarawak yang kini dikategorikan sebagai usahawan kecil dan sederhana (IKS) dengan pendapatan antara RM30,000 hingga RM3.6 juta setahun.
Dalam pada itu, beliau mengingati kaum wanita yang bergiat dalam bidang tersebut agar tidak mengabaikan keluarga masing-masing.

"Kita (wanita) tidak dapat lari daripada tanggungjawab sebagai isteri dan ibu sebab dalam kita rancak menjana pendapatan keluarga, tanggungjawab berkenaan diabaikan pastinya tidak menguntungkan mana-mana pihak,"ujarnya.

Bengkel lima hari berkenaan disertai oleh 20 wanita kampung dianjurkan oleh Biro Ekonomi JKKK, dengan kerjasama Kraftangan Malaysia dan Biro Wanita, KPSU.

Turut hadir di majlis berkenaan ialah ADUN N.7 Semariang, Puan Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Pengarah Kraftangan Malaysia, Encik Suhaimi Abdul Manaf, Pengarah Biro Wanita, Puan Norjanah Razali dan Pengerusi Pengelola, Encik Zamahari Saidi.




Diubahsuai dari sumber asal, Utusan Borneo (24 April 2010) dan Utusan Sarawak (24 April 2010)

Pengusaha tudung keringkam harus kreatif