"apabila saya melawat kampung, saya dapat mendengar daripada mulut wakil rakyat dan pemimpin tempatan mengenai permasalahan rakyat"

YAB DATUK SERI MOHD NAJIB
TUN RAZAK
Perdana Menteri Malaysia
 
 
 
 
2 Mac 2010 - Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkesempatan untuk meluangkan masa bersama dengan warga kampung dalam program Tinjauan Mesra iaitu program turun padang sebagai pendekatan beliau untuk menemui di peringkat akar umbi tanpa sekatan protokol.

Malah, program itu dianggap Perdana Menteri sebagai amat bersesuaian untuk memahami kehendak dan permasalahan naluri rakyat tempatan di peringkat kampung.

"Melalui program Tinjauan Mesra ini, saya dapat turun padang berjumpa dengan seluruh rakyat tanpa sekatan protokol, tanpa bunga manggar, hamparan merah dan kerusi khas. Ini membolehkan saya bersemuka dengan rakyat, berjabat tangan dan dapat meninjau masalah rakyat," katanya.

Najib berkata, betapa pentingnya rasa denyutan nadi rakyat yang dapat beliau sendiri melihat dan mengetahui mengenai permasalahan mereka.

Katanya, dengan cara ini (mendekati rakyat) maka lebih mudah pihak kerajaan, baik di peringkat negeri mahupun pusat memberikan keutamaan
untuk mempertimbangkan dan menunaikan kehendak rakyat setempat.

"Apabila saya melawat pelbagai kampung, saya dapat mendengar daripada mulut wakil rakyat dan pemimpin tempatan mengenai permasalahan rakyat. Dengan itu, kita dapat memberi keutamaan kepada prasarana yang diinginkan oleh rakyat'" katanya.

Hadir sama ialah Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud, Timbalan-Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi George Chan dan Datuk patinggi Tan Sri Alfred Jabu dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal.

Kehadiran rombongan Perdana Menteri telah diberi sambutan hangat dari pelbagai lapisan bukan hanya oleh warga kampung sendiri tetapi juga kampung sekitarnya. Lebih 2000 orang membanjiri jalanraya di kampung untuk mengambil kesempatan berjabat tangan dan bermesra dengan Perdana Menteri.

Perdana Menteri sempat singgah di Dewan Serbaguna JKKK sambil menikmati jamuan ringan dan menyampaikan amanat beliau yang disaksikan oleh lebih 2000 orang.
Pada majlis berkenaan juga, Perdana Menteri juga mengumumkan peruntukan sebanyak RM400,000 untuk membina Pusat Komuniti Kampung dan projek mendalam sungai kampung yang bernilai lebih RM6 juta.

"Memandangkan Petra Jaya adalah kubu kuat Barisan Nasional (BN) dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) maka saya minta rakyat disini terus memberikan sokongan kepada BN apabila tiba pilihan raya kelak, "katanya

Ahli Dewan Undangan Negeri N.7 Semariang, Puan Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali turut berucap mengalu-alukan ketibaan YAB Perdana Menteri kerana sudi berkunjung ke kampung berkenaan.







Diubahsuai dari sumber asal, Utusan Borneo (3 Mac 2010)

Perdana Menteri Malaysia luang masa bersama warga kampung