ASSALAMUALAIKUM WBT.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kerana memberi peluang kepada saya untuk menyampaikan sepatah dua kata dalam laman web Kampung Sungai Bedil Besar. Saya juga ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada Biro Teknologi Maklumat, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kerana mengambil inisiatif menerbitkan Laman Webnya sendiri. Inilah kampung yang pertama di kawasan DUN N.7 Samariang yang mengambil langkah menerbitkan sebuah laman webnya sendiri.

Saya sememangnya amat berbangga sekali di atas inisiatif yang diambil dan berharap dengan adanya laman ini akan menjadi satu saluran utama ke arah usaha-usaha menyebarkan maklumat mengenai perkembangan kampung yang mampu dikongsikan oleh semua pihak di alam siber. Malahan dalam dunia teknologi IT yang berkembang pesat masa kini, kita tidak dapat bergantung kepada kaedah konvensional semata-mata sebaliknya perlu bersikap proaktif agar kita turut mengikuti keadaan selaras dengan perkembangan semasa. Penerbitan laman web ini mampu digunakan sepenuhnya dan sebaiknya dalam usaha untuk meningkatkan status kampung kita. Apa yang penting sekali kandungannya perlulah dikemas kini dari semasa ke semasa agar penggunanya mendapat berita dan maklumat yang terkini. Malah adalah baik juga ianya menjadi saluran untuk kita memasarkan produk dan perkhidmatan tertentu dan secara tidak langsung mampu membina jaringan ke arah menjana pendapatan yang lebih baik untuk warga kampung.

Kini e-perdagangan melalui penggunaan internet memang menjadi satu trend untuk memasarkan pelbagai bentuk produk dan perkhidmatan. Oleh itu, jika laman ini mampu menjadi seluran berkenaan, saya yakin, kita akan mampu melahirkan usahawan yang berjaya. Dengan jumlah pengguna internet yang besar populasinya menyediakan satu peluang kepada semua dan kita harus merebutnya dengan sebaik-baiknya, secara tidak langusng mampu meningkatkan status ekonomi warga kampung Akhir kata, tahniah dan syabas sekali lagi semoga usaha murni memberi dorong kepada kampung-kampung lain khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri N.7 turut bersama menerbitkan laman web mereka sendiri.

Tahniah dan Syabas.

Sekian. Terima kasih.


"perkembangan kampung mampu dikongsikan oleh semua pihak di alam siber"
YB SHARIFAH HASIDAH SAYEED AMAN GHAZALI
Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak
N.7 Semariang
Perutusan YB Puan Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Ahli Dewan Undangan Negeri N.7 Semariang