"sekiranya pembangunan ekonomi berlaku tanpa adanya keamanan, pembangunan tidak akan dapat dijayakan dengan sempurna"

YB DATUK AMAR ABG HJ ABDUL RAHMAN ZOHARI TUN OPENG
Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar Sarawak
 
Hakcipta Terpelihara © 2008. Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sungai Bedil Besar, Petra Jaya, Kuching, Sarawak, Malaysia.
 
 
 
24 Disember 2010 - Kampung Sungai Bedil Besar bakal muncul sebagai kampung pertama di negeri ini yang mempunyai perkhidmatan bot persiaran yang dikenali dengan nama "Lan Berambeh Rivercruises" bagi menarik pelancong untuk berkunjung ke kampung berkenaan.

Perkhidmatan berkenaan akan diuruskan oleh Koperasi Lan Berambeh Sungai BedilKU Kuching Berhad yang ditubuhkan awal tahun ini dan bot persiaran berkenaan dijangka akan mula beroperasi pada hujung Januari tahun depan.

"Sekiranya bot ini beroperasi nanti, kita menjangkakan ianya memperolehi pendapatan yang amat baik bagi Koperasi kampung", kata Zamahari Haji Saidi, Pengerusi Koperasi berkenaan.

Beliau berucap di majlis sesi taklimat mengenai projek berkenaan yang dihadiri oleh Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari Bin Tun Openg, Menteri Perumahan Sarawak di kampung berkenaan. 

Pada masa ini, Koperasi telah membelanjakan sebanyak RM36,000 untuk membina bot persiaran berkenaan, dan melalui peruntukan yang diberi oleh Datuk Amar Abang Zohari akan digunakan untuk tujuan promosi dan lain-lain perbelanjaan, kata Zamahari lagi.

Mengulas mengenai perkhidmatan projek berkenaan,  Datuk Abang Zohari berkata,  produk terbaru itu yang diusahakan sepenuhnya oleh penduduk kampung mempunyai potensi yang cerah untuk menarik pelancong.

"Tidak banyak perkhidmatan seumpama ini ditawarkan kerana ianya turut menyediakan makanan selain persiaran dilaksanakan di Sungai Sarawak" katanya.

Beliau berharap apabilla bot berkenaan beroperasi, juadah makan tradisional dan kraftangan negeri turut dapat dipromosi kerana kampung ini popular  dengan cendol, yang mungkin boleh dihidangkan kepada pelanggan yang menggunakan perkhidmatan tersebut.

Pada taklimat berkenaan, Abang Johari turut menyampaikan peruntukan RM80,000 kepada Koperasi untuk digunakan bagi tujuan promosi. 
Jika perkhidmatannya berjalan dengan lancar, Kampung Sungai Bedil Besar pasti akan menjadi destinasi wajib pelancong yang berkunjung ke negeri ini, katanya lagi.

"Sungai Bedil akan menjadi semakin popular dengan perlaksanaan perkhidmatan ini disamping pembinaan tebingan yang menelan belanja RM14 juta", ujarnya.

Sekiranya ramai pelancong datang ke kampung, maka pendapatan penduduk kampung juga meningkat terutama mereka yang menjalankan perusahan membuat kek lapis, kuih tradisional dan cendol, jelasnya lagi.

Turut hadir di majlis taklimat berkenaan ialah isteri Abang Johari, Datin Amar Juma'ani, ADUN  Samariang, Sharifah Hasidah Sayed Aman Ghazali, Datuk Bandar Kuching Utara, Abang Atei Medaan dan Brig. Jen. (RELA) Haji Hamfutullah Syawal Hamdan, Pengarah RELA Negeri Sarawak.



Diubahsuai dari sumber asal, Utusan Sarawak (25 Disemberl 2010) dan New Sarawak Tribune (25 Disember 2010)
Lan Berambeh Rivercruises mula beroperasi Januari depan