"program seumpama ini mampu memberi peluang kepada usahawan kecil kampung mempromosikan produk masing-masing"

YB DATUK HAJI TALIP ZULPILIP
Menteri Muda Pelancongan dan Warisan
 
Hakcipta Terpelihara © 2008. Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sungai Bedil Besar, Petra Jaya, Kuching, Sarawak, Malaysia.
 
 
 
9 Mei 2010 - Kementerian Pelancongan dan Warisan mungkin akan memasukkan Program Lan Berambeh Kampung Sungai Bedil Besar dalam kalendar pelancongan Malaysia pada tahun hadapan sekiranya program berkenaan terus mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai khususnya pelancong untuk berkunjung ke kampung berkenaan,

Menteri Muda Pelancongan dan Warisan, Datuk Haji Talib Zulpilip berkata, walaupun program ini sudah memasuki tahun keempat tahun ini, kajian terperinci perlu dilakukan untuk menilai sama ada ianya sesuai untuk dimasukkan dalam Kalendar Pelancongan Sarawak.

Beliau juga berkeyakinan tinggi, program ini   mampu menarik kedatangan pelancong sekiranya promosi besar-besaran dilakukan dan dilaksanakan dengan teratur.

"Kita melihat program Lan Berambeh ini mempunyai potensi yang cukup baik untuk menarik kehadiran pengunjung bagi menyaksikan sendiri nostalgia serta cara hidup masyarakat kampung," katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Program Lan Berambeh Kampung Sungai Bedil Besar.
Katanya, program seumpama itu juga mampu memberi peluang kepada usahawan kecil kampung mempromosikan produk masing-masing disamping mampu mengurangkan masalah sosial dan jenayah selain mampu mengeratkan hubungan sesama penduduk.

"Malah saya melihat Lan Berambeh yang dianjurkan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dengan  Jawatankuasa Kejiranan Mesra Kampung Sungai Bedil Besar ini boleh melahirkan usahawan kecil melalui jualan dan pameran yang diadakan serta satu pendekatan untuk mengukuhkan semangat kejiranan,' ujarnya.

Talib berkata, ia juga secara tidak langsung menggalakkan penduduk setempat berjinak-jinak dalam bidang perniagaan.

Beliau yang juga Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) juga komited untuk sentiasa berkerjasama dengan penduduk sekiranya mahu mendapatkan khidmat nasihat bagi menjalankan perniagaan termasuk memohon untuk mendapatkan gerai-gerai kecil atau kemudahan lain yang disediakan oleh pihak SEDC.
"Kita berharap, program ini secara tidak langsung akan menggalakkan penduduk setempat khususnya di kalangan suri rumah untuk berjinak-jinak dalam bidang perniagaan." tambahnya lagi.

Dalam masa yang sama juga, program ini juga memberi kesedaran kepada  usahawan kecil mengenai potensi masing-masing dan kemampuan untuk menghasilkan produk yang berkualiti serta merebut pasaran terhadap produk yang dihasilkan, katanya lagi.

"Selain mempromosikan produk masing-masing, ia turut meningkatkan kerjasama di kalangan penduduk kampung dengan pengunjung dan pada masa sama dapat meningkatkan jaringan perniagaan di kalangan mereka" ujar Datuk Talib lagi.







Diubahsuai dari sumber asal, Berita Harian (10 Mei 2010) dan Utusan Sarawak (9 Mei 2010)

Program Lan Berambeh berpotensi tersenarai dalam kalendar pelancongan